Popular Posts

Wednesday, 30 November 2011

Sungguh Besar Cabaran Guru

Dulu semasa mengajar di SJK (C), boleh la tarik nafas lega & "action". Sebab objektif pembelajaran sentiasa tercapai. Murid - murid siapkan kerja dan latihan sangat cepat tanpa perlu memberi arahan serta penerangan dari satu langkah ke satu langkah. Sekarang setelah berada di SK Tun Abdul Razak, barulah aku mengerti erti sebenar sesi pengajaran dan pembelajaran.

Amat besar cabaran guru - guru Bahasa Inggeris di sini. Ini kerana, Bahasa Inggeris bukan bahasa ke-2 seperti kebanyakkan sekolah yang lain. Di sini, bahasa utama ialah Bahasa Orang Asli, bahasa ke-2, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah bahasa ke -3 di sekolah ini.

Pada tahun pertama, terasa sungguh, Ya Allah berikan kekuatan iman dan ketabahan hati dalam menempuhi liku - liku kehidupan sebagai pendidik di sekolah ini. Ramai murid tidak tahu membaca, malah tidak mengenal huruf. Di sini juga, peranan guru adalah 100% terhadap anak muridnya. Ibu bapa berserah sebulat - bulatnya kepada para guru di sini untuk mendidik anak - anak mereka samada dari segi pendidikan, fizikal, emosi, rohani, sahsiah dan segala macam aspek. Sekiranya keputusan peperiksaaan atau ujian membangga, itu semua adalah hasil usaha  guru - guru di sini. Ini kerana, apabila balik dari sekolah ibu bapa jarang mengambil berat dan menyemak buku - buku anak - anak mereka. Sumber ini bukan rekaan, tapi hasil soalan - soalan lisan yang dikemukan kepada murid - murid mengenai aktiviti mereka di rumah setelah habis sesi persekolahan. Pada masa cuti juga, mereka tidak pernah memanfaatkan cuti dengan mengulangkaji pelajaran atau membaca bahan ilmiah. Mereka akan dibawa oleh ibu bapa ke hutan untuk mencari rezeki ataupun ke sungai - sungai dan kebun.
Oleh itu kami, para guru di sini akan memanfaatkan masa persekolahan mereka dengan pelbagai aktiviti - aktiviti menarik untuk memastikan anak - anak murid kami berasa seronok dan dapat belajar dengan selesa dan sempurna. Yang paling utama, mereka dapat membaca, mengira dan menulis dengan baik sekali.


Kehadiran di SK Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu - 020909

Pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah yang mempunyai murid 100% Orang Asli kaum Temuan. Perasaan bercampur baur. Agak janggal kerana sebelum ni berkhidmat di sekolah yang agak besar, ramai rakan guru dan anak murid. Di sini, murid hanya 191 dan rakan guru termasuk staf 21 orang {enrolmen 2011)..namun sekolah ini memang istimewa..Kalau nak tahu..jom check it out..

SK TUN ABDUL RAZAK nama diberi..

Mengikut sejarahnya di zaman darurat (1948) orang - orang asli di kawasan Kuala Kubu Bharu telah dipindahkan dari kawasan berhampiran pekan iaitu di Kampung Lengong. Pemindahan ini bertujuan mengurangkan masalah keselamatan orang - orang asli. Dengan bantuan Jabatan Orang Asli (JOA) rumah - rumah telah didirikan di sebuah bangunan sementara dan dinamakan Sekolah Asli dengan murid seramai 20 orang sahaja. Guru Besar ketika itu ialah Encik Abdul Hadi.

Bagaimanapun, dalam tahun 1958, sebuah perkampungan orang - orang asli yang lebih sesuai telah disediakan yang terletak 2km dari bandar Kuala Kubu Bharu. Sebuah sekolah dibina menggantikan sekolah asli di kampung Lengong. Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Kaum Darat, Kuala Kubu Bharu. Guru Besarnya diketika itu ialah Encik Hassan bin Rais.

Pada tahun yang sama (1958) Sekolah Kebangsaan Kaum Darat ini telah ditukarkan namanya kepada Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak sempena mengambil nama Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu Menteri Pembangunan Luar Bandar. Beliau telah datang melawat ke perkampungan orang asli ini.

Pada tahun 1983, sebuah bangunan asrama telah didirikan bagi menampung anak - anak orang Asli dari seluruh daerah Hulu Selangor yang datang belajar ke sekolah ini. Rumah - rumah pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) turut dibina bagi memudahkan pengurusan dan pengendalian murid - murid asrama pada waktu itu.

Jumlah murid juga bertambah pada masa itu seramai 125 orang dengan tenaga pengajar seramai 10 orang guru. Ini menyebabkan pada tahun 1984, sebuah lagi bangunan baru dibina. Pada tahun 1991 pula, sebuah lagi bangunan baru dibina lagi dan dibiayai oleh JHEOA.

Pada tahun 1995, sekolah ini telah diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Walayu bagaimanapun, Pihak JHEOA masih memberi peruntukan kewangan untuk membeli peralatan dan keperluan murid di sekolah ini.

Pada awal tahun 2004, bangunan kayu yang uzur telah diganti dengan bangunan batu yang baru yang boleh menempatkan 4 buah bilik darjah. Pada 2009, asrama setinggi dua tingkat dan 2 blok dibina. Asrama ini dilengkapi kemudahan asas seperti kebanyakkan asrama sekolah yang lain. Asrama ini mampu menampung sehingga 80 murid dalam satu - satu masa.

Sehingga kini jumlah Guru Besar yang telah berkhidmat di sini seramai 14 orang.

2005 - 2010 : Puan Azizah binti Hassan (kini berkhidmat di SK Bukit Beruntung Dua-Guru Besar)
2011 - kini    : Encik Zulhisham bin Nasir

Upsi oh Upsi!

Tidak pernah terfikir dan terlintas untuk berblogging. Sekadar account Facebook ada la join. Tapi kerana kehendak assignment UPSI untuk men"create" blog, terpaksa jua cuba sedaya upaya men"create" blog ini..
Semoga ada kritikan dan nasihat membina dari rakan - rakan seperjuangan..syukur..tercipta jua akhirnya..

Love Teaching Never Ending!!!

Bismillahhirahmannirrahim...

1st time buat blog..tapi tak tau ntah wujud ke tidak..harap-harap menjadi la...amin..